Sabtu, 05 April 2014
Gambaran Hari Kiamat
Gambaran Kiamat Seperti Dalam Kitab Al-Qur'an
- Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala
(bentuknya seperti tanduk besar) yang
memekakkan telinga, seluruh makhluk mati
kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain.
Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa
malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya
sendiri.
- Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun
berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah
kerajaan hari ini ?” Tiada siapa yang
menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan
keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha
Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan
kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan
yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak
mati.
- Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s.
dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala
untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup
semula di atas bumi putih, berupa padang
Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata
tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
- Sekelian manusia hidup melalui benih anak
Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada
di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah
manusia umpama anak pokok yang kembang
membesar dari biji benih.
- Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam
keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak
rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka
sangat takut dan bimbang tentang nasib &
masa depan yang akan mereka hadapi kelak.
- Lalu datanglah api yang berterbangan
dengan bunyi seperti guruh yang menghalau
manusia, jin dan binatang ke tempat
perhimpunan besar. Bergeraklah mereka
menggunakan tunggangan (bagi yang
banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang
amalan) dan berjalan dengan muka (bagi
yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan
lupakan anak, suami akan lupakan isteri,
setiap manusia sibuk memikirkan nasib
mereka.
- Setelah semua makhluk dikumpulkan,
matahari dan bulan dihapuskan cahayanya,
lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa
cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat
dahsyat.
- Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan
bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat
sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh
makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang
besar dan suaranya yang menakutkan.
- Kemudian matahari muncul semula dengan
kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan
seakan-akan matahari berada sejengkal dari
atas kepala mereka. Ulama berkata jika
matahari naik di bumi seperti keadaannya
naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi
terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai
menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan
dan bermandikan peluh sehingga peluh
mereka menjadi lautan. Timbul atau
tenggelam mereka bergantung pada amalan
masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan
sehingga 1000 tahun.
- Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi
Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang
mengandungi air yang hanya dapat diminum
oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan
mukmin akan dihalau oleh malaikat yang
menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan
haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk
segi empat tepat sebesar satu bulan
perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari
kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan
rasanya lebih sejuk dari embun. Ia
mempunyai saluran yang mengalir dari
syurga.
- Semua makhluk berada bawah cahaya
matahari yang terik kecuali 7 golongan yang
mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
ⅰ- Pemimpin yang adil.
ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah
Allah.
ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan
berpisah kerana Allah.
ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina,
tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut
pada Allah”.
ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan
bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati
Allah lalu mengalir air matanya kerana
takutkan Allah.
- Oleh kerana tersangat lama menunggu di
padang mahsyar, semua manusia tidak tahu
berbuat apa melainkan mereka yang beriman,
kemudian mereka terdengar suara “pergilah
berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka
pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali
kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi
Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi
Adam a.s menyatakan beliau juga ada
melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka
kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa
Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s.,
Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab
seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka
berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara
satu nabi dengan yang lain adalah 1000
tahun perjalanan.
- Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad
SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan
doa baginda.
- Selepas itu, terdengar bunyi pukulan
gendang yang kuat hingga menakutkan hati
semua makhluk kerana mereka sangka azab
akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah
arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang
malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak
perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih
dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy
itu tiba dibumi.
- ‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar
berbentuk kubah (bumbung bulat) yang
mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa
dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan
gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama
istana yang mempunyai seribu bilik yang
menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia
dilingkungi embun yang menghijab
cahayanya yang sangat kuat.
- Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di
hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang
malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih
kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah
padang . Dalam bahasa mudah ia umpama
singgahsana yang terletak dihadapan istana.
- Seluruh makhluk pun menundukkan kepala
kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal.
Ketika itu berterbanganlah kitab amalan
masing-masing turun dari bawah Arasy
menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan
tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil
untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis
oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid /
Kiraman Katibin.
- Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi
dan pemimpin masing- masing. Orang kafir &
munafik beratur bersama pemimpin mereka
yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka
tersendiri untuk dibezakan.
- Umat yang pertama kali dihisab adalah umat
Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang
pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan
hukum yang pertama kali diputuskan adalah
perkara pertumpahan darah.
- Apabila tiba giliran seseorang hendak
dihisab amalannya, malaikat akan mencabut
kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya
mengambil dengan tangan kanan bagi orang
mukmin dan dengan tangan kiri jika orang
bukan mukmin.
- Semua makhluk akan dihisab amalan
mereka menggunakan satu Neraca
Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai
satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun.
Daun yang bercahaya untuk menimbang
pahala dan yang gelap untuk menimbang
dosa.
- Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad
SAW dan para imam 4 mazhab untuk
menyaksikan pengikut masing-masing
dihisab.
- Perkara pertama yang diminta ialah Islam.
Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan
baiknya tidak ditimbang bahkan amalan
buruk tetap akan ditimbang.
- Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri,
tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi
saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan.
Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan
Maha Bijaksana.
- Setelah amalan ditimbang, mahkamah
Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk
menuntut hak masing-masing dari makhluk
yang sedang dibicara sehinggalah seluruh
makhluk berpuas hati dan dibenarkannya
menyeberangi titian sirat.
- Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :
ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di
Padang Mahsyar dengan mempercepatkan
hisab.
ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga
tanpa hisab.
ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai
iman sebesar zarah dari neraka.
(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan
Allah SWT.)
Para nabi dan rasul serta golongan khawas
juga diberikan izin oleh Tuhan untuk
memberi syafaat kepada para pengikut
mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap
seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70
000 orang yang lain.
Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula
berjalan menuju syurga melintasi jambatan
sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian)
yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar
jambatan ini adalah seperti sehelai rambut
yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari
mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan
dilebarkan dan dimudahkan
menyeberanginya.
Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat
memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun
menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000
tahun menurun. Ada makhluk yang
melintasinya seperti kilat, seperti angin,
menunggang binatang korban dan berjalan
kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya
disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki
mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.
Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat
mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap
1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang
sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang
akan terjatuh ke dalam neraka.
Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan
Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani.
Pustaka Nasional Singapura 2004.
Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham
akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada
sahabat² yang lain. Sepertimana sabda
Rasulullah SAW: ❝ Sampaikanlah pesananku
walaupun satu ayat. ❞ Sesungguhnya apabila
matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3
perkara yang akan dibawanya bersama :
① Sedekah/amal jariahnya.
② Doa anak²nya yang soleh.
③ Ilmu yang bermanfaat yang
disampaikannya kepada orang lain. Share this article :
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Komentar anda sangat berharga bagi kami